Sunday, November 18, 2012

Maria


19 tahun yang lalu..sesi petang di sebuah sekolah rendah..

Pada petang itu, Cikgu Zalina mengajar subjek bahasa melayu seperti biasa. Cikgu Zalina orangnya manis dan cantik adalah antara cikgu kesayanganku dan dia sangatlah baik orangnya.


Pembelajaran kami terhenti kerana seorang makcik datang secara tiba-tiba, dia tidak datang terus ke kelas tetapi aku lihat dia disatu sudut hadapan kelas tetapi berlainan bangunan. Makcik itu hanya melihat dari jauh kelas kami.


Makcik itu berambut pendek, kulit hitam manis dan sudah agak berkedut, baju t-shirt lengan pendek, berkain batik dan tuala kecil dibahu.


Aku mengalihkan pandanganku kearah makcik tersebut, sambil memegang pensil, aku terfikir, kenapa makcik ini datang pada waktu yg tidak berapa sesuai, waktu rehat masih jauh lagi. Biasanya waktu rehat ada ibu murid-murid datang untuk menemani anak mereka makan atau memberi bekal makanan.


Tiba-tiba, Cikgu Zalina  memanggil kawanku, Maria. Maria adalah seorang budak yg sangat comel, bermata coklat cerah (menurun ayahnya), berkulit putih tetapi dia buta huruf. Aku selalu juga membuli Maria(buli secara kecil-kecilan)


Pandanganku tetap tidak terkalih untuk melihat dua beranak tersebut. Semua murid-murid dalam kelas diam dan melihat sahaja apa yang berlaku.


Cikgu Zalina menyuruh Maria pergi kearah ibunya. Maria budak baik, pergi kearah ibunya tanpa bicara. Cikgu Zalina dan kami semua hanya melihat dari dalam kelas.


Makcik tersebut terus memeluk Maria dengan erat. Diusap dan diciumnya kesuluruhan wajah Maria. Lalu Makcik tersebut mengeluarkan sesuatu dan menyarungkan ke pergelangan tangan Maria. Selepas itu, dicium berkali-kali wajah Mariasebelum pergi dengan linangan airmata.


Oh makcik tersebut menyarungkan seutas jam berwarna coklat. Maria kembali semula kekelas dengan wajah yg polos dan diam seribu bahasa. Dalam diam, raut wajah Cikgu Zalina nyata sebak.


Sampai sekarang kisah ini tidak pernah aku lupa. Melihat Si ibu sanggup datang berjalan kesekolah dibawah panas terik semata-mata untuk menyarungkan seutas jam tangan. Entahkan jam tersebut berfungsi atau tidak, entahkan Maria tahu atau tidak untuk melihat jam kerana Maria buta huruf dan tak tahu mengira lagi.


Maria oh Maria, aku hanya ingat wajah kecilnya kerna sampai sekarang aku tak pernah jumpa Maria selepas kami berpisah kelas pada tahun 3. Maria punya ibu yg berhati mulia dan penyayang. Harap-harap Maria dapat balas jasa ibunya itu. Kalaulah Maria tahu didunia ini ada seorang insan masih mengingati kisah dia dan ibunya itu. Insan itu adalah aku.

No comments:

Post a Comment